IQNA

Fatemeh Hammami – pelukis kelainan upaya impi bertemu Cristiano Ronaldo

11:50 - August 19, 2021
Berita ID: 3100031
TEHRAN, (IQNA): Fatemeh Hammami, seorang artis kelainan upaya (OKU) yang bukan saja layak dikagumi malah wajar dihormati.

Dia yang berasal dari Iran mencetus tular di media sosial apabila sering berkongsi hasil sentuhan kanvasnya yang cukup luar biasa dengan hanya menggunakan kaki kanannya.

Difahamkan, sehingga 85% tubuh Fatemeh lumpuh sejak kecil lagi dan satu-satunya anggota yang masih berfungsi dan boleh dikawal adalah kaki kanannya.

Biarpun cacat anggota, Fatemeh telah membuktikan bahawa keistimewaannya itu juga adalah satu kekuatan, kata pengendali laman Facebook rasmi OhMyGoal.

Ia terbukti menerusi sentuhan mengkagumkan di kanvas yang menghasilkan potret indah wajah personaliti pujaan hatinya.

Sebagai seorang peminat tegar bola sepak, nama Fatemeh memang sudah tidak asing lagi di media sosial. Bakat dan keberaniannya juga menyentuh hati ramai peminat bola sepak di luar sana.

Fatemeh kini berharap dan menyimpan impian bahawa pemain bole sepak ternama, Cristiano Ronaldo akan melihat satu daripada lukisannya. Dia juga amat mengharapkan sokongan moral dari idolanya itu.

Selain lukisan Cristiano Ronaldo, Fatemeh turut melukis potret pemain bola sepak antarabangsa lain seperti Lionel Messi yang hasilnya sama hebat dengan pelukis normal lain.

Ternyata bakat luar biasa yang dimiliki artis satu dalam sejuta ini mencetuskan inspirasi dalam kalangan warganet yang tidak henti-henti memuji, mengagumi dan tidak kurang pula yang tersentuh hati menyaksikan sendiri sentuhan unik karya-karya seninya.

“Teruskan Fatemeh, semoga satu hari nanti anda berpeluang bertemu dengan Cristiano Ronaldo,” kongsi seorang warganet.

freemalaysiatoday

captcha