Unit Komunikasi Korporat MOTAC dalam satu kenyataan, hari ini menafikan dakwaan yang dibuat oleh Pengerusi Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saffta), Dr Fathir Badri yang dipetik oleh beberapa portal berita dalam talian, baru-baru ini.
“Kementerian menafikan sebarang bentuk pengumuman berkaitan harga indikator baharu pakej umrah atau ziarah seperti yang dinyatakan.
“Untuk makluman, harga indikator yang pernah ditetapkan pada tahun 2016 seperti mana yang telah dipersetujui oleh anggota Majlis Kawal Selia Umrah pada ketika itu adalah pada kadar RM4,900,” katanya.
Bagaimanapun, kementerian sedang mengkaji faktor-faktor kenaikan kos khususnya susulan langkah-langkah kawalan pandemik COVID-19 dikenakan kerajaan Arab Saudi dan kerajaan Malaysia.
Tegasnya, sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian yang mana tentunya akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuklah pihak indsutri dan orang awam.
“Pihak kementerian menyeru semua pihak menghentikan cubaan memanipulasi pasaran khususnya melibatkan harga perkhidmatan pakej umrah atau ziarah.
“Pihak kementerian juga ingin terus menasihati orang awam agar berwaspada dengan tawaran-tawaran pakej umrah yang meragukan pada masa ini dan menyemak kesahihan perkara ini dengan pihak kementerian,” katanya.