IQNA

Yaman: Tiada tanda positif perdamaian

21:31 - September 13, 2021
Berita ID: 3100120
TEHRAN (IQNA) -DUBAI: Tujuh tahun selepas pemberontak Houthi menawan ibu negara Yaman, Sanaa pada September 2014, mencetuskan perang yang menjerumuskan negara miskin itu ke kancah krisis kemanusiaan terburuk.

Walaupun ada upaya diplomatik menghentikan pertempuran antara pemberontak sekutu Iran dan pemerintah yang didukung Arab Saudi, tiada tanda konflik yang membuatkan jutaan orang berdepan kebuluran itu akan berakhir.

Berikut beberapa soalan dan jawapan utama mengenai perang di Yaman.

SIAPA LEBIH BERKUASA?
Penganalisis mengatakan pemberontak Houthi mempunyai kekuatan mengatasi pakatan tentera dipimpin Arab Saudi.

Riyadh memimpin pakatan itu sejak Mac 2015.

Tetapi Houthi sekarang tampil lebih kuat, serangan demi serangan yang dilancarkan, mengancam tentera kerajaan dan juga sasaran di Arab Saudi dengan peluru berpandu balistik dan dron.

“Kita menyaksikan perubahan besar dalam keseimba­ngan kuasa, dengan kem (anti-Houthi) berpecah kerana politik negara,” kata Maged al-Madhaji dari badan pemikir Pusat Sanaa kepada AFP.

PERTEMPURAN TERBESAR
Walaupun mengalami kerugian besar dalam beberapa bulan terakhir ini, Houthi kembali memperbaharui usaha merebut bandar Marib, kubu kuat terakhir pemerintah.

Pemberontak pertama kali meningkatkan kempen untuk Marib pada Februari lalu, menyebabkan ratusan orang terbunuh. Menguasai bandar di wilayah yang kaya minyak itu akan memperkuat kedudukan mereka dalam rundingan damai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Peter Salisbury, penganalisis di International Crisis Group, banyak perubahan dalam tujuh tahun ter­akhir ini.

“Houthi beralih dari gerakan pemberontak kepada pihak berkuasa de facto yang (me­nguasai) ibu kota dan wilayah di mana lebih 20 juta orang tinggal,” katanya.

Houthi bertempur dengan enam perang melawan kerajaan, antara 2004 dan 2010 dan pertempuran rentas sempadan dengan Arab Saudi, pada 2009 dan 2010.

“Selagi ada perebutan untuk Marib, pertempuran akan berlanjutan,” kata Maged.

APA USAHA PBB?
Diplomat Sweden yang juga wakil baharu PBB ke Yaman, Hans Grundberg, kini memikul tugas setelah wakil sebelum ini, Martin Griffiths mengakui usahanya selama tiga tahun ‘sia-sia’.

Elisabeth Kendall, penyelidik di Pembroke College, University of Oxford berkata, cabaran utama Grundberg adalah mencari formula gencatan senjata yang dapat diterima Houthi.

Sementara PBB dan Amerika Syarikat mendorong untuk menamatkan konflik, pemberontak menuntut pembukaan semula lapangan terbang Sanaa sebelum perjanjian gencatan senjata dimeterai.

Rundingan terakhir berlangsung di Sweden pada 2018 de­ngan kesepakatan untuk gencatan senjata di kota pelabuhan Hodeidah serta pertukaran tahanan.

Tetapi walaupun telah menyetujui gencatan senjata di Hodeidah, pertempuran ganas berlaku antara pemberontak dan tentera pro-pemerintah di sekitar kota yang strategik.

HARAPAN KEDAMAIAN?
Kedamaian di Yaman masih sukar difahami.

Baik Griffiths mahupun Tim Lenderking, Utusan Khas AS untuk Yaman, telah melakukan lawatan ke wilayah tersebut untuk mendorong usaha perdamaian, tanpa berhasil mencari penyelesaian.

“Tanpa usaha besar di pe­ringkat domestik, tidak akan ada perjanjian damai ditandatangani,” kata Kendall.

Menurut Maged, tiada petunjuk positif dalam waktu terdekat.

“Keadaan akan bertambah buruk jika salah satu pihak rasa ia lebih kuat. Dan pihak yang kuat biasanya tak cenderung bersikap damai,” katanya.

captcha