IQNA

AS bom orang awam

13:02 - September 14, 2021
Berita ID: 3100125
TEHRAN (IQNA) -Serangan dron yang didakwa Pentagon berjaya membunuh pengebom berani mati Daesh di Kabul, sebenarnya mengorbankan petugas bantuan yang sedang mengisi keretanya dengan jag air dan bukannya bahan letupan.

Hasil penyiasatan New York Times seperti dilaporkan Daily Mail mendapati, Zemari Ahmadi, 43, maut bersama sembilan ahli keluarganya ketika memandu Toyota Corolla 1996 ke pekarangan rumahnya.

Serangan dron itu dilancarkan di rumah mangsa yang terletak di kejiranan Khajeh Baghra, 29 Ogos lalu.

Seramai enam orang maut di dalam kereta, manakala selebih­nya terbunuh di kawasan halaman rumah di kejiranan.

Selain Ahmadi dan tiga anak­nya, Zamir, 20; Faisal, 16, dan Farzad, 10; mangsa yang terbunuh ialah sepupunya, Naser, 30, dan anak saudara, Arwin, 7; Benyamin, 6; Hayat, 2; serta Malika dan Sumaya masing-masing ber­usia tiga tahun.

Menurut saksi kejadian, mang­sa dan rakan sekerja menuju ke balai polis yang dikawal Taliban bagi memohon kebenaran untuk mengedarkan makanan kepada pelarian yang tinggal di kawasan sekitar.

Ketika lelaki itu tiba di rumah, anak-anak dan sepupunya berlari menyambut kepulangannya di luar rumah sebelum letupan berlaku.

Ahmadi bertugas dengan Organisasi Bantuan Makanan dan Pendidikan Antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Abang mangsa, Emal memberitahu, kesemua individu yang maut langsung tidak bersalah dan tiada perkaitan dengan pengganas.

“Anda kata dia adalah militan Daesh, tetapi dia bekerja dengan AS,” luahnya.

Pentagon tetap angkuh de­ngan melaporkan hanya tiga orang awam terbunuh, sedangkan laporan kes mengenai insiden itu sudah terbongkar kepada khalayak umum.

Malah mereka tetap yakin pergerakan Ahmad kononnya mempunyai perkaitan dengan gerakan Daesh dengan menuduhnya bertindak sebagai ‘fasilitator Daesh’.

Ketua Pengerusi Bersama, Mark A. Milley mendakwa, bahan mudah meletup yang berada di dalam kenderaan itu akan digunakan semasa serangan berani mati terhadap tentera AS beberapa jam sebelum misi pemindahan berakhir.

Katanya, dron pengawasan mengejar Ahmadi ke sebuah kawasan lapan hingga 12 kilometer dari lapangan terbang dengan membawa bungkusan berat di dalam kereta.

KEBENARAN YANG DISEMBUNYIKAN

Sehari selepas serangan itu, Presiden AS, Joe Biden menyampaikan ucapan sempena pengunduran tentera AS di Afghanistan yang berakhir 31 Ogos lalu.

Beliau berbangga dengan kemampuan tentera AS melancarkan serangan terhadap pengganas di negara itu.

Namun, Biden sama sekali gagal mendedahkan kadar kematian tinggi melibatkan orang awam serta kanak-kanak sejak serangan dron itu.

“Kami serang Daesh dari jauh, sehari selepas mereka bunuh 13 tentera AS dan berpuluh-puluh rakyat Afghanistan. Peringatan kepada Daesh, kami belum selesai dengan anda lagi,” ucapnya de­ngan penuh bangga.

utusan.com.my

captcha